Manusia telah diletihkan oleh nafsunya
Kerana kehendak nafsu terlalu banyaknya tanpa batas
Kehendaknya yang halal dan yang haram setiap waktu
Diarah-arahkannya kita ke hilir dan ke hulu
Di waktu siang dan malam, di waktu hujan dan panas
Mendapatnya belum tentu, dapat pula tidak puas-puas
Diarah-arahnya kita lagi, digesa-gesanya kita selalu
Adakalanya bangga kita mendapat bala dan kecelakaan
Namun tidak juga hairan, dan tidak menjadi sempadan
Direntap-rentapnya kita lagi, didorongnya lagi kita bertindak
Kerana terlalu tamak mendapatkannya tidak fikir halal haram
Terlanggarlah syariat, lupalah Tuhan
Lalai berpanjangan
Tidak ada ruang untuk Tuhan
Tuhan dilupakan sama sekali
Tapi apa yang diingat selalu, ialah apa hendak diburu
Benar-benar nafsu telah mengkudakan kita
Kita diperkotak-katik hingga tidak ada rehat-rehatnya
Habis umur kita dipermainkan oleh nafsu
Kita telah dijadikannya ibarat bola
Ditendang merata padang kehidupan
Akibatnya di dunia lagi telah menerima padahnya
Di Akhirat lebih parah dan menderita yang tidak berkesudahan
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi